Close

Adakah bedak talkum boleh menyebabkan kanser?

Apakah serbuk talkum?

Serbuk Talkum diperbuat daripada “talc”, sejenis tanah liat mineral (mineral clay) yang terdiri daripada unsur-unsur magnesium, silikon, dan oksigen. Sebagai serbuk, ia menyerap kelembapan dengan baik dan membantu mengurangkan geseran, menjadikannya berguna untuk penjagaan dari kulit kering dan membantu mencegah ruam. Ia digunakan secara meluas dalam produk kosmetik seperti bedak bayi, bedak dewasa dan bedak muka, serta dalam beberapa produk lain.

Pengkaji-pengkaji perubatan mula berhujah tentang keselamatan penggunaan bedak talkum setelah mendapati bahawa sesetengah talc mengandungi “Asbestos”. Asbestos pula adalah sekumpulan mineral gentian yang boleh dijumpai secara semulajadi di dalam tanah dan batuan yang terdiri dari silikon dan oksigen. Bahan ini sangat berkait rapat dengan kejadian kanser paru-paru apabila disedut semasa bernafas, sehinggakan pada tahun 1967, ‘Cosmetic, Toiletry, and Fragrance Association (CTFA), sebuah persatuan yang mewakili perniagaan kosmetik dan produk penjagaan diri di Amerika Syarikat telah mengeluarkan panduan dimana semua penggunaan talc di dalam kosmetik di negara tersebut mestilah bebas dari Asbestos.

Sejak kebelakangan ini, telah tersebar di Media sosial tentang risiko kejadian Kanser Ovari (Ovarian Cancer) dikalangan wanita yang menggunakan bedak talkum dibahagian celah kelangkang/ alat sulit. Adakah ini benar? Sudah adakah kajian perubatan yang telah dilakukan berkenaan isu ini? Apakah keputusan kajian tersebut?

Bagaimana penggunaan bedak talkum ada kaitan dengan kanser?

Apabila berbincang tentang penggunaan bedak talkum samada boleh menyebabkan kanser atau tidak , kita perlu membezakan diantara penggunaan bedak talkum yang mengandungi asbestos dan bebas asbestos. Bedak talkum yang mengandungi asbestos secara amnya boleh menyebabkan kanser jika tersedut ke dalam paru-paru, bagaimana pula dengan bedak bebas asbestos?

 

Jadi adakah semua bedak talkum di pasaran pada hari ini mengandungi Asbestos?

Tidak, bedak talkum di pasaran hari ini hampir 100% bebas asbestos kerana penggunaa talc telah digantikan dengan tepung jagung (Cornstarch) . Bahan merbahaya ini hanya dikesan di dalam bedak talkum pada tahun 1973, bedak yang dihasilkan pada tahun-tahun sebelumnya mengandungi asbestos yang tinggi dan pada masa tersebut bedak digunakan di bahagian kemaluan/celah kelangkang untuk mengurangkan geseran dan bau. Keadaan ini menyebabkan penyelidik telah mendapati ada kemungkinan wujudnya kaitan diantara penggunaan bedak talkum sebelum tahun 1970an dengan kanser ovari.

 

Jadi bagaimana dengan “bedak talkum bebas asbestos”?

Penyelidik telah menggunakan 2 kajian utama untuk mendapatkan jawapannya

  1. Kajian makmal

Haiwan makmal didedahkan kepada “bedak talkum bebas asbestos” (pada kadar yang tinggi) dan dikaji samada bahan tersebut boleh menyebabkan ketumbuhan/tumor atau masalah kesihatan yang lain. Penyelidik juga mendedahkan sel normal kepada bedak talkum didalam piring petri, dan pemerhatian dibuat samada terdapat perubahan pada sel normal seperti sel kanser. Tetapi hasil dari kajian makmal ke atas haiwan tidak selalu terpakai (applicable) kepada manusia. Walau bagaimanapun, kajian makmal adalah cara terbaik untuk mengetahui samada bahan tersebut boleh menyebabkan penyakit kanser atau tidak.

Hasil kajian makmal

Kajian yang telah mendedahkan haiwan makmal (tikus dan tikus hamster) kepada “bedak talkum bebas asbestos” telah mendapat keputusan yang berbeza-beza, dengan beberapa menunjukkan pembentukan tumor dan yang lain tidak menemui apa-apa.

  1. Kajian keatas manusia

Kajian manusia membandingkan kadar kanser di dalam “kumpulan yang terdedah kepada bedak talkum bebas asbestos” kepada kadar “kumpulan yang tidak terdedah”, atau bandingkan dengan kadar kanser yang dijangkakan akan berlaku dalam populasi umum. Tetapi, kadang-kadang sukar untuk mengetahui samada hasil kajian ini bermakna atau tidak, kerana banyak faktor lain yang mungkin mempengaruhi hasilnya.

Hasil kajian keatas manusia

Kanser Ovari

    1. Kajian ini telah mencadangkan bahawa bedak talkum mungkin boleh menyebabkan kanser pada ovari JIKA partikel talkum yang digunakan pada alat sulit atau pada tuala wanita, diafragma, atau kondom berjaya melalui faraj, uterus, tiub fallopian dan akhirnya ke ovari. Teori ini juga meragukan, kerana terdapat kajian yang dijalankan oleh Gertig GM mendapati TIDAK terdapat perbezaan kejadian kanser ovary diantara wanita (pengguna bedak talkum) yang telah mengikat salur peranakan/ tiub fallopian (Tubal Ligation) dengan wanita yang tidak menjalani prosedur tersebut.

*Apabila tiub fallopian diikiat maka asbestos tidak boleh sampai kepada ovari kerana laluannya telah tersekat, jadi sepatutnya wanita yang mengikat tiub fallopian tentu mempunyai risiko yang lebih rendah, tetapi ini tidak berlaku.

    1. Banyak jenis kajian telah digunakan untuk memastikan samada bedak talkum mempunyai kaitan dengan kejadian kanser ovari, keputusan kajian berbagai-bagai, dengan beberapa menunjukkan kenaikan risiko dan yang lain, tidak. Banyak “Case Control Studies” yang dilakukan secara retrospektif iaitu data-data pesakit diambil daripada pesakit terdahulu menunjukkan kenaikan risiko yang sangat KECIL. Tetapi, jenis kajian ini boleh dikatakan “bias” kerana bergantung sepenuhnya kepada ingatan seseorang tentang pengunaan bedak talkum sepanjang hidupnya.
    2. Bebarapa “Cohort Studies” yang dilakukan secara prospektif ( tidak berpotensi untuk “bias”) TIDAK mendapati penggunaan bedak talkum bebas asbestos meningkatkan risiko kanser ovary. Satu kajian yang sama, mendapati kenaikan risiko yang SANGAT SEDIKIT kepada satu jenis Kanser ovari.

Apa kata agensi-agensi yang bertanggugjawab?

International Agency for Research of Cancer (IARC) merupakan salah satu badan di dalam World Health Organisation (WHO), yang bertanggungjawab untuk mengenalpasti penyebab kanser, telah mengeluarkan beberapa kenyataan berkaitan bedak talkum:

  1. IARC mengklasifikasikan bedak Talkum yang mengandungi asbestos adalah “karsinogenik (carcinogenic) kepada manusia”.
  2. Berdasarkan data yang kurang dari kajian manusia dan haiwan makmal, IARC mengklasifikasikan, “bedak talkum bebas asbestos” yang disedut melalui pernafasan adalah “TIDAK karsinogenik kepada manusia”
  3. Berdasarkan data yang terhad daripada kajian manusia tentang kaitan talkum dan kanser ovary, IARC mengklasifikasikan penggunaan bedak talkum yang berasaskan “talc” pada bahagian alat sulit/celah kelangkang “ MUNGKIN karsinogenik kepada manusia”.

 

Perlukah saya berhenti menggunakan bedak talkum?

Sehingga sekarang masih lagi tidak jelas samada bedak talkum boleh menyebabkan kanser kerana hasil dari kajian memperoleh keputusan yang bercampur. Walaupun bagaimanapun, terdapat juga beberapa keputusan kajian yang mencadangkan kemungkinan kenaikan risiko kanser ovari pada pengguna bedak talkum.

Mengikut American Cancer Society, mereka mencadangkan pengguna untuk mengelak atau mengehadkan penggunaan bedak talkum, terutamanya pada alat sulit/celah kelangkang bagi golongan wanita, sehingga lebih banyak maklumat diperoleh dari kajian-kajian saintifik dan perubatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 Comments
scroll to top