Ini bukan tulisan untuk mempromosi sebarang insurans tetapi kita nak berbincang. Kalau rasa ada pendapat lain, boleh tulis di ruang komen. Isunya, kenapa nak kena ada insurans? Terutamanya medical card. Kan negara kita dah ada perkhidmatan kesihatan terbaik dunia? Jadi buat apa dan kenapa nak kena ada insurans jugak?

Insurans kalau di ikutkan bukan lah satu kos yang rendah. Memang betul ada yang dapat murah tapi kebanyakan tak lari dari RM150 ke atas. Macam saya bulan-bulan RM 200+ juga. Kawan saya membelanjakan RM 1000+ setiap bulan untuk insurans dia, isteri dan anak-anak. RM1000 lebih tu boleh buat instalment beli rumah sebiji.

Lagi pulak, insurans ni kira tiap bulan hangus je kalau tak guna. RM 200 kali 12 bulan kali 20 tahun, mahu RM48 ribu!

Banyaknyaaa!!! Masuk hospital government kan dah tanggung semua. Bayar bil pun murah je.

Ni pendapat saya kenapa kena ada insurans.

1# Hospital Government Dah Sesak.

Pernah pergi sendiri tengok? Saya sendiri peminat Hospital Government. Selain bayaran murah, Doktor juga check sehabis baik. Tapi kadang-kadang kesian, tak cukup katil untuk menempatkan pesakit. Hospital HKL umpanya sekarang dah menjadi lebih baik. Tetapi hospital seperti di Klang, Selayang dan beberapa tempat lain, sesak dengan pesakit yang ramai.

2# Lebih Selesa Untuk Kita Dan Keluarga

Kita bukan kerja government. Kalau kerja kerajaan ada sedikit lah kelebihan untuk dapat perkhidmatan yang baik di Hospital Kerajaan seperti bilik yang lebih baik. Kalau kita orang biasa, dengan kerja biasa biasa, wad nya adalah wad yang bercampur. Satu dewan wad itu sehingga 30-40 katil dan hanya dilengkapi kipas siling. Keluarga yang nak menjaga kita pun tak selesa dengan keadaan tersebut. Apa lagi kita yang sakit.

Kalau di hospital swasta, kita boleh dapat bilik bertiga atau berdua bahkan bilik sendiri. Kalau kita mampu kenapa tak ambil keselesaan. Bayangkan dengan sakit nya yang buat kita tak selesa, di tambah lagi dengan keadaan wad yang ramai dan panas, kita pun akan rasa rimas. Macam mana nak cepat sembuh?

kan lebih selesa

 

3# Perlindungan

Ini hampir semua tahu. Kita tak boleh hidup lama. Maka sediakan lah persediaan untuk anak isteri kita jika kita tak ada nanti supaya mereka tak susah. Kita pun tahu nak menyara hidup bukan susah, apa lagi bila tinggal isteri kita sahaja berseorangan untuk menyara kehidupan dia dan anak-anak. Itu pentingnya insurans nyawa.

Dan bila kita sakit pula, banyak belanja nak dipakai. Bayangkan kos perubatan yang besar. Betul, hospital kerajaan ada. Tapi jika ada insurans, maka kita dapat keselesaan dan dalam masa yang sama, pendapatan asas kita terjaga tanpa kita gunakan untuk dibelanja bagi merawat sakit yang kita alami.

4# Lambat Laun Kerajaan Dah Tak Boleh Tanggung Lagi

Sebenarnya kita dah boleh nampak dah tanda-tanda ini. Alhamdulillah berkat pengurusan kerajaan terdahulu dan sekarang, kita masih lagi boleh menikmati perkhidmatan hospital yang baik. Tapi sampai bila? Di Amerika misalnya, kerajaan sendiri tak mampu menanggung pesakit yang ramai dan kerana itu bekas presiden Barack Obama melancarkan ObamaCare.

Di Singapura pula, kerajaan sendiri ada sistem insurans sendiri di mana gaji semua rakyatnya ditolak untuk insurans masing-masing. Hospital mereka seperti Hospital Tan Tock Seng setaraf dengan Hospital Swasta kita yang cantik dan mewah serta selesa. Rakyatnya menggunakan insurans masing-masing dan sistem insurans kerajaan ini diwajibkan pada semua.

Di Malaysia juga sebenarnya perkara ini dah dibincangkan. Sebenarnya insurans untuk kalangan B40 pun dah dimulakan. Kerajaan mula mencadangkan supaya pesakit premium boleh membayar khidmat rawatan dan menjadi pesakit yang diutamakan. Mereka akan mendapat kelebihan dalam menerima rawatan di Hospital Kerajaan.

Dalam beberapa bulan lepas juga, Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng ada menyatakan tentang memulakan sistem insurans kerajaan di mana setiap rakyat mempunyai insurans sendiri. Kaedah bagaimana ia dilakukan tidak kita tahu, tetapi ini menjadi petunjuk yang lambat laun kerajaan tak mampu lagi nak menampung beban perbelanjaan kesihatan.

5# Beri Peluang Kepada Mereka Yang Tak Mampu

Jika kita mampu, kenapa tidak ambil? Lebih selesa dan lebih elok untuk kita. Dan tempat kita tadi itu kita berikan kepada mereka yang tak mampu. Tak semua macam kita mampu untuk membayar RM200 sebulan seorang untuk insurans. Ada yang cuma berpendapatan kurang dari RM1000, dan dah pasti mereka tak mampu membayar.

Jadi jika kita mampu untuk mengambil insurans, maka ambil lah. Biar kan orang yang lebih layak untuk menggunakan khidmat kesihatan kerajaan untuk menggunakannya terutama untuk sakit yang tidak kritikal. Untuk sakit kritikal misalnya, ada hospital swasta yang tak mampu menanganinya kerana kepakaran ramai di Hospital Kerajaan maka dengan itu, boleh lah ke sana.

Pilih Lah Insurans Dengan Cermat.

Insurans ini adalah salah satu komitmen kewangan kita dan kalau ikut kan agak besar juga. Pilih lah dengan cermat. Jika kita berkeluarga dan pendapatan kita menyara kehidupan keluarga kita, maka amat penting untuk mempunyai insurans nyawa/hayat.

Medical card juga sekarang banyak yang di tawarkan untuk keluarga dengan harga berpatutan. Yang penting pada medical card adalah coverage yang ditawarkan. Kerana kos untuk perubatan penyakit kritikal seperti sakit jantung, kanser, buah pinggang dan lain-lain bukan nya murah. Maka jika coverage tak cukup, yang susah nanti kita juga.

Senang kata, kesimpulannya adalah, jika kita berkemampuan, ambil lah insurans dan pilih lah insurans dengan cermat. Kerana kita tak tahu bila kita akan sangat-sangat memerlukannya!