NSSI – Tabiat Mencederakan Diri Sendiri

nssi - tabiat mencederakan diri sendiri

Dalam proses kita untuk menjadi seorang dewasa iaitu semasa dalam fasa hidup kita yang membesar, iaitu di antara dalam fasa kanak-kanak ke remaja, dan fasa perubahan daripada remaja ke orang dewasa, kita sedia maklum bahawa perubahan fasa ini mempengaruhi gaya dan tingkah laku kita kadangkala. Dari segi emosi, perubahan fizikal dan juga reaksi kepada percakapan dan perlakuan orang lain, fasa-fasa ini amat penting dalam membentuk personaliti dan tingkah laku seseorang itu.

Fasa kritikal ini adakalanya merupakan satu perkara yang mencabar untuk beberapa golongan masyarakat yang adakalanya secara tidak langsung menjuruskan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dianggap sebagai pathological iaitu berpenyakit dan secara tidak langsung membentuk satu jenis tabiat yang di luar norma masyarakat.

Image may contain: text that says "Iceberg model of self-harm and suicide in young people Suicide Self-harm (presenting to clinical services) Self-ham n the community not presenting to clinical services)"

Kenali NSSI

Dalam artikel kali ini, saya akan menyentuh mengenai tabiat dan perlakuan mencederakan diri sendiri, yang mana di dalam terminologi perubatannya dikenali sebagai Non-Suicidal Self Injury (NSSI). NSSI ini berbeza dengan perlakuan membunuh diri (suicidal, suicide attempt, parasuicide), yang mana jika kita fahami maksud dua perkataan pertama dalam terma NSSI ini iaitu non-suicidal, bermaksud perlakuan mencederakan diri sendiri ini bukanlah berniat sebagai salah satu cara untuk membunuh diri, dan maksud ‘self injury’ itu secara literal bermaksud perbuatan yang membawa kecederaan kepada diri sendiri.

Terdapat beberapa cara perlakuan self-injury ini antaranya dengan memotong lengan menggunakan pisau cukur, membakar, menghantuk kepala ke dinding atau mencakar diri sendiri, yang mana perlakuan mencederakan diri sendiri ini tidak teruk sehingga ke tahap mereka mendapat kecacatan kekal. Tabiat ini menjadi masalah kerana dalam kajian klinikal jelas membuktikan bahawa perbuatan ini merupakan satu sebab yang meningkatkan risiko seseorang untuk membunuh diri.

Setiap kali badan kita mengalami kecederaan fizikal, satu bahan kimia bernama endorphin akan dikeluarkan. Hormon ini akan menjadikan kita ‘feel good’ dan ianya adalah respon terhadap kecederaan yang kita alami untuk menjadikan bahagian otak yang menerima isyarat kesakitan itu tidak terlalu ‘overwhelming’.

Banyak sebab dan faktor mengapa perlakuan NSSI ini dibuat dan menjadi rutin kepada sesetengah orang. Dalam beberapa laporan kes dan juga kajian psikologi yang dibuat yang mengambil kira kes-kes yang berlaku dalam masa 10 – 15 tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa sebab mengapa perlakuan ini dibuat oleh seseorang.

Untuk mereka yang mengalami NSSI ini, sebab di bawah adalah di antara yang diketahui. Ada yang mengalami salah SATU SAHAJA sebab yang disenaraikan di bawah dan ada juga yang melakukannya disebabkan LEBIH DARI SATU SEBAB.

Sebab Berlakunya Perlakuan NSSI

a) Menghilangkan Rasa Negatif Dalam Emosi Mereka seperti Perasaan Bersalah

Untuk menghilangkan emosi dan reaksi negatif yang keterlaluan dalam diri seseorang dan menyalurkan kemarahan dan kekecewaan, ada pesakit yang melakukan perkara ini. Kajian mendapati mereka yang mempunyai kecenderungan untuk melakukan NSSI ini mempunyai masalah berkaitan psikiatri pada awalnya.

Antara penyakit yang diketahui berkaitan dengan NSSI ini termasuklah Major Depressive Disorder (MDD), Generalized Anxiety Disorder (GAD) dan Bipolar Disorder (BPD). Mereka kurang sokongan dan kasih sayang daripada rakan sekeliling dan keluarga, menyebabkan mereka memilih jalan ini sebagai cara menyalurkan kemarahan atau kesedihan mereka.

Akhirnya, otak dan mental mereka akan mengaitkan apa-apa kesakitan emosi yang mereka alami dan ianya akan diikuti dengan kesakitan dari segi fizikal, yang mana amat berbahaya dan merupakan salah satu tunjang utama mengapa perkara ini tidak semena-mena menjadi rutin dan tabiat mereka. Juga, kesakitan fizikal ini dapat menyelubungi kesakitan emosi mereka dan malangnya, perkara ni berlaku tanpa kesedaran mereka sendiri.

b) Distraction dan Escapism

Perbuatan mencederakan diri sendiri ini kadangkala berfungsu untuk mengalih perhatian daripada minda mereka yang terus menerus memikirkan untuk membunuh diri. Perbuatan NSSI ini dapat mengalih perhatian (distraction), di samping memberi sedikit ‘kesedaran’ bahawa kesakitan yang dialami itu sedikit jika berbanding dengan mencederakan diri dengan niat membunuh diri.

Juga, untuk memendamkan rasa ingin membunuh diri, NSSI ini berfungsi sebagai satu bentuk escapism mental mereka. Untuk pengetahuan anda, sekiranya anda mempunyai hobi seperti menulis,berkebun, melukis dan lain-lain, saranan saya adalah untuk menjadikannya sebagai escapism dan distraction yang lebih selamat di samping dapat mengalihkan tumpuan pemikiran mengenai rasa ingin membunuh diri.

c) Self-Punishment

Self-punishment atau menghukum diri sendiri ini merupakan salah satu implikasi daripada cara seseorang itu dibesarkan, yang mana adakalanya, setiap kesalahan yang dilakukan akan menerima hukuman yang diterjemahkan dalam bentuk kesakitan oleh ibu bapa mahupun orang yang membesarkan mereka. Kita semua mungkin tahu dan pernah kena rotan, cubit, pukul dan lain-lain sekiranya kita melakukan kesalahan di hadapan ibu bapa kita.

Apabila golongan yang dibesarkan ini mencapai usia remaja dan dewasa, di mana perlakuan mereka yang mereka rasa salah dibiarkan begitu sahaja, mereka mempunyai kecenderungan untuk menghukum diri mereka sendiri dengan memberi kesakitan dan kecederaan fizikal. Untuk golongan moden yang mengetahui bahawa memukul atau mencederakan anak itu salah, untuk pengetahuan anda, kata-kata yang tinggi atau tengkingan, makian dan kutukan juga sebenarnya akan mencederakan emosi seseorang.

Mungkin ada orang berfikir bahawa anak yang tidak pernah menerima hukuman akan membesar menjadi seseorang yang lemah, tetapi, ianya tidak benar. Hukuman exaggeration atau jenis hukuman yang keterlaluan juga boleh merosakkan mental seseorang dan terbukti lebih teruk (child abuse).

Justeru, keseimbangan di antara kesalahan dan jenis hukuman yang diberikan (reward dan punishment) haruslah dikawal untuk mengelakkan hal sebegini rupa. Ingat, kata-kata juga boleh jadi keterlaluan (high emotional expression) dan seringkali dikaitkan dengan salah satu faktor risiko mengapa seseorang itu mengalami masalah mental.

d) Memberitahu Dirinya Masih Lagi Hidup

Adakalanya, sesetengah orang melakukan perkara ini adalah kerana mereka merasakan kehidupan mereka agak ‘numb’ dan kosong serta mendatar sahaja. Untuk memberikan minda mereka kesedaran bahawa mereka ini sedang hidup, serta memberikan rasa dan perasaan untuk ‘hidup’, mereka menyakitkan diri.

Rasa jiwa kosong ini banyak berkait rapat dengan pengambilan ubat-ubat psikiatri yang berfungsi sebagai penenang dan menstabilkan mood pesakit. Kesan sampingan pengambilan ubat-ubatan ini adakalanya memang sudah di agak untuk menjadikan seseorang seperti ‘zombie’ di antara 5 hingga 14 hari. Sekiranya berlarutan, anda perlu memberitahu pakar psikiatri anda untuk mengurangkan dos atau menukar kepada ubat yang lain.

e) Attention-Seeking Behaviour

Ada sesetengah orang melakukan perkara ini untuk mendapatkan perhatian daripada orang lain, atau orang yang mereka cintakan, iaitu dengan cara membuat sesuatu perkara yang mengundang simpati oran lain. Mendapatkan perhatian ini juga sebenarnya adalah sebagai satu cara untuk memberitahu bahawa mereka memerlukan pertolongan (a call for help) dan rawatan daripada segi kesihatan mental.

Perbuatan NSSI ini seperti yang kita ketahui adalah tidak normal dan buat mereka yang mempunyai tabiat sebegini, seharusnya mereka perlu mendapatkan pertolongan dan rawatan daripada segi psikiatri dan kesihatan mental. Kajian demi kajian mendapati kemungkinan besar untuk para pelaku NSSI ini untuk mengakhiri kehidupan mereka dengan membunuh diri adalah amat tinggi.

Disebabkan oleh NSSI ini sendiri kadangkala berkait rapat dengan beberapa penyakit mental, penyakit-penyakit tersebut perlu dirawat dalam pelbagai cara mengikut kepada kesesuaian dan diagnosis pesakit. Dalam kebanyakan masa, tabiat NSSI ini akan hilang apabila penyebabnya, dan penyakit mental yang berkaitan dengan pesakit dapat dirawat sepenuhnya.

Bagi NSSI yang tidak berkait rapat dengan apa-apa penyakit mental pula, teknik ‘coping mechanism’ yang sesuai dan normal akan diajarkan kepada mereka. Selain daripada bimbingan kaunseling, beberapa strategi rawatan seperti psikoterapi dan ‘cognitive behavioral therapy’ (CBT) dikatakan efektif dalam menangani masalah ini.

d) Endorphin dan Penghasilannya

Anda harus faham bahawa sekiranya anda berbual dengan orang yang anda suka, atau anda ketawa dengan ikhlas, makan coklat dan bersenam adalah cara yang baik untuk membuatkan badan anda meningkatkan pengeluaran endorphin. Sama seperti dopamine, terdapat cara yang betul dan cara yang tidak baik untuk menjadikan badan kita menghasilkannya.

Perbuatan pengambilan makanan berkalori tinggi, penggunaan dadah seperti heroin, perbuatan menonton pornografi dan masturbasi merupakan di antara cara yang salah untuk meningkatkan endorphin dan dopamine. Senaman serta usaha yang membuahkan hasil pula akan meningkatkan bahan kimia yang sama tetapi lebih selamat dan patut.

Kesimpulan

Dalam dunia yang mencabar ini di mana kes membunuh diri meningkat dengan ketara, selaras dengan faktor stres dan kegelisahan. 800,000 kes kematian di seluruh dunia dan bunuh diri kini menjadi salah satu sebab ketiga tertinggi kematian para remaja yang berada di antara 15 – 19 tahun. Kebangkitan media sosial menjadikan hal sebegini rupa semakin teruk di mana setiap kali tersebarnya berita mengenai kes bunuh diri sudah pasti ada beberapa insan istimewa yang menjadikan ruangan komen untuk menerukkan lagi keadaan.

Kematian remaja 16 tahun akibat bunuh diri sejurus selepas dia digelar attention-seeker dan mendapat 60 peratus kata ‘YES” dalam poll yang dibuat di Instagram sepatutnya menjadi satu pengajaran penting untuk kita semua. Kelahiran self-proclaimed doctor, self-diagnosed patient, artis yang menjadikan sakit mental sebagai satu perkara yang ‘cool dan trendy’ atau orang awam yang mendiagnos orang lain sebagai mempunyai masalah mental secara terbuka di media sosial juga menjadi salah satu penyumbang kepada stigma dan persepsi masyarakat awam terhadap pesakit mental.

Akhir kata, sekiranya anda ada kenal atau mengetahui sesiapa yang sering mempunyai kecenderungan untuk melakukan NSSI ini, ada baiknya sekiranya anda membawa mereka mendapatkan rawatan dan bimbingan daripada mereka yang profesional.

Rujukan

  1. Nonsuicidal Self-Injury: What We Know, and What We Need to Know, article by E David Klonsky via NCBI Pubmed
  2. WHO Article on Suicide, 19 September 2019
  3. Non-suicidal Self Injury Proper Identification and Treatment. Article by Batya Swift Yasgur via Psychiatry Advisor, April 2017
  4. Nonsuicidal Self-Injury (NSSI) By Paula J. Clayton , MD, University of Minnesota School of Medicine, Oct 2019

Sumber: FB Dr Shark

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *