Close

Penyakit Kanser ini apa sebenarnya?

Kongsikan artikel dengan rakan anda!

Penyakit Kanser ini apa?

Secara mudahnya, “Kanser” adalah nama untuk sekumpulan penyakit yang berkaitan, dimana sel-sel didalam badan mula tumbuh dan membahagi tanpa henti hingga merebak ke tisu/struktur badan yang berdekatan. Secara normal, sel-sel badan akan tumbuh/membahagi untuk membentuk sel-sel baru berdasarkan keperluan badan kita. Apabila sel-sel tersebut semakin tua/rosak, ianya akan mati dan digantikan oleh sel-sel baru.

Tapi bila Kanser berlaku, proses ini terganggu. Bila sel-sel tersebut menjadi makin tidak normal (abnormal), sel yang tua/rosak akan terus hidup dan tidak mati menyebabkan sel-sel baru tumbuh juga walaupun tidak diperlukan. Sel-sel baru yang berlebihan ini boleh bertumbuh tanpa henti (Sel Kanser) dan membentuk ketumbuhan (Tumor).

Ketumbuhan yang ber-“Kanser” adalah ‘malignant’ (bersifat ganas/aktif), dimana mereka boleh merebak dan menjajah tisu-tisu normal yang berdekatan. Tambahan lagi, semakin tumor ni membesar, sel-sel kanser boleh berpecah dan merebak ke bahagian badan yang lain melalui darah atau sistem limfa (lymph) dan membentuk ketumbuhan baru jauh dari ketumbuhan yang asal. Proses ini dikenali sebagai ‘Metastasis’.

Berbeza pulak dengan ketumbuhan yang ‘benign’ (bersifat jinak) yang tidak merebak atau menjajah tisu-tisu berdekatan. Tumor ini boleh membesar dengan cepat tetapi apabila dibuang, selalunya ianya tidak akan tumbuh semula. Ketumbuhan ini pada kebiasaannya tidak membahayakan jika berada di bahagian badan yang lain kecuali ketumbuhan ‘benign’ di otak.

Kenapa Sel kanser berbahaya berbanding Sel normal?

  1. Sel Kanser kurang spesifik/khusus berbanding sel normal, dimana sel-sel normal ini akan bertumbuh kepada sel khusus yang mempunyai fungsi tertentu, berbeza dengan sel kanser. Ini adalah salah satu sebab sel kanser terus tumbuh/membahagi tanpa henti.
  2. Sel kanser juga berupaya untuk ‘mengabaikan’ isyarat badan yang memberitahu supaya sel tersebut berhenti membahagi/tumbuh. Proses kematian sel ini dikenali sebagai ‘apoptosis’, yang digunakan oleh badan untuk membuang sel-sel yang tidak diperlukan/rosak.
  3. Sel kanser juga berupaya untuk mempengaruhi sel normal untuk membentuk salur darah untuk membekalkan makanan dan nutrisi kepada mereka untuk membesar. Salur darah ini juga berfungsi untuk membuang sisa kotoran dari tumor tersebut.
  4. Sel kanser juga mampu untuk mengelak dari tindakan sistem pertahanan badan (rangkaian organ, tisu dan sel yang melindungi badan dari jangkitan dan lain-lain). Walaupun sistem pertahanan badan boleh membuang sel yang tidak normal/rosak, sel kanser berupaya untuk menyorok dari sistem ini.
  5. Sel kanser juga boleh mempergunakan sistem pertahanan badan untuk terus hidup dan membesar dengan mempengaruhi mereka supaya tidak membunuh atau tidak aktif.

 

Bagaimana penyakit kanser terjadi?

Kanser adalah penyakit genetik/keturunan yang disebabkan perubahan bahan genetik (genetic changes) yang mengawal fungsi sesuatu sel, terutamanya faktor pembesaran dan pembahagian sel.

Perubahan bahan genetik ini kebiasaannya diwarisi dari keturunan dan juga diperolehi semasa jangka hidup seseorang disebabkan kesilapan pembahagian sel atau kerosakan pada DNA akibat pendedahan persekitaran. Faktor persekitaran yang boleh menyebabkan kanser adalah seperti bahan kimia di dalam asap rokok dan radiasi seperti sinaran UV dari matahari. Faktor penyebab kanser dan cara mengatasi akan kami kongsikan dalam artikel seterusnya.

 

Apakah jenis-jenis kanser?

Terdapat lebih dari 100 jenis kanser yang telah direkodkan didalam jurnal perubatan. Jenis2 kanser kebiasaannya dinamakan berdasarkan organ atau tisu penyakit kanser tersebut bermula,seperti kanser usus, kanser payudara dan lain-lain. Selain itu, kanser juga dinamakan berdasarkan jenis2 sel terbentuknya penyakit tersebut seperti sel epithelia (Epithelial cell) atau sel skuamus (Squamous cell)

  1. Karsinoma (Carcinoma)

Merupakan kanser yang paling banyak berlaku. Kanser ini terjadi pada sel epithelia (sel yang menutupi permukaan luar dan dalam badan manusia):

    • Adenokarsinoma (Adenocarcinoma)

Kanser yang terbentuk pada sel epithelia atau tisu kelenjar yang mengeluarkan cecair atau mucus seperti kanser payudara, kanser usus dan prostat

    • Karsinoma sel asas (Basal Cell Carcinoma)

Kanser yang bermula pada lapisan bawah/asas epidermis ( lapisan paling luar pada kulit)

    • Karsinoma sel Skuamus (Squamous Cell Carcinoma)

Kanser yang terbentuk pada sel skuamus (sel epithelia yang berada dibawah lapisan paling luar kulit). Sel skuamus juga membaluti organ-organ lain termasuk lapisan perut, usus, paru-paru, pundi kencing dan buah pinggang.

    • Karsinoma sel peralihan ( Transitional Cell Carcinoma)

Kanser yang terbentuk pada tisu epithelia peralihan (transitional), tisu ini terbentuk oleh banyak lapisan sel epithelia yang boleh berubah bentuk, selalu pada lapisan pundi kencing, ureter dan sebahagian dari buah pinggang.

  1. Sarkoma (Sarcoma)

Kanser yang terbentuk pada tulang dan tisu lembut termasuk otot, lapisan lemak, salur darah, salur limfa dan tisu fibrous. Sebagai contoh, osteosarkoma adalah kanser yang berlaku pada tulang

  1. Leukemia

Kanser pada tisu yang membentuk sel darah dalam sumsum tulang (bone marrow) menyebabkan sel darah putih yang tidak normal (sel leukemia) memenuhi darah dan sumsum melebihi sel darah normal. Kejatuhan bilangan sel darah normal akan menyebabkan, pengurangan oksigen dibekalkan kepada tisu badan, kesulitan mengawal pendarahan dan melawan jangkitan.

  1. Limfoma (Lymphoma)

Kanser yang bermula pada limfosit (Lymphocyte), sejenis sel darah putih yang berfungsi untuk melawan penyakit. Limfosit yang tidak normal ini akan berkumpul di kelenjar dan salur limfa serta organ2 lain.

  1. Melanoma

Kanser ini bermula pada sel yang bakal menjadi melanosit (melanocyte), sejenis sel yang menghasilkan melanin (sejenis bahan/pigmen yang memberi warna pada kulit). Kebanyakan melanoma terjadi pada kulit tetapi boleh juga berlaku pada mata.

 

Kongsikan artikel dengan rakan anda!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 Comments
scroll to top