Close

Rasa macam nak bunuh diri?

Kongsikan artikel dengan rakan anda!

Bagaimana untuk berdepan dengan perasaan ingin bunuh diri (Suicidal thought) dan cara mengatasinya

Anda bukan keseorangan; ramai diantara kita pernah mengalami perasaan ini pada satu ketika dalam hidup. Rasa ingin bunuh diri bukannya masalah perwatakan, dan ia tidak bermaksud anda gila, atau lemah. Ia hanya bermaksud anda menanggung lebih banyak kesakitan sehingga tidak mampu mengatasinya sekarang. Kesakitan ini mungkin nampak tiada penghujung, tetapi dengan masa dan sokongan, anda mampu untuk mengatasi kesakitan tersebut dan perasaan itu akan hilang.

Saya sedang terfikir untuk bunuh diri, apa yang perlu saya tahu?

Se-dahsyat mana pun kesakitan yang anda alami sekarang, ingat yang anda bukan keseorangan. Banyak orang-orang yang hebat, paling dikagumi, diperlukan pernah berada di tempat anda sekarang.  Kebanyakan daripada kita terfikir untuk bunuh diri apabila kita dibelenggu oleh kemurungan (Depression) dan hilang harapan. Tetapi, kemurungan boleh dirawat dan harapan boleh diperbaharui. Walau apa jua keadaan, ingat! masih ada lagi insan-insan yang memerlukan anda, tempat baru dimana anda boleh melakukan perubahan dan, pengalaman hidup yang mampu mengingatkan anda bahawa hidup ini bernilai. Ingatlah bahawa;

  1. Perasaan itu tidak kekal dan sentiasa bertukar, bagaimana anda rasa hari ini tidak sama seperti perasaan anda semalam atau perasaan anda esok atau minggu depan.
  2. Ketiadaan anda akan menyebabkan kesedihan dan kemurungan kepada insan-insan tersayang.
  3. Masih banyak lagi perkara yang anda boleh kecapi dalam hidup
  4. Masih banyak lagi pengalaman dalam hidup yang mampu untuk menggembira dan menceriakan anda.
  5. Keupayaan anda untuk mengalami emosi yang menyenangkan adalah sama dengan keupayaan anda untuk mengalami emosi yang menyedihkan.

Kenapa saya rasa nak bunuh diri?

  1. Anda merasakan bunuh diri adalah satu-satunya cara untuk keluar dari masalah

Anda tidak dapat memikirkan cara mengatasi masalah yang dialami selain dari membunuh diri. Bukannya jalan penyelesaian lain tidak wujud, tetapi anda tidak dapat melihatnya pada waktu tersebut. Disebabkan gangguan emosi yang anda hadapi pada ketika itu, pemikiran anda menjadi kabur atau terganggu sehinggakan tidak mampu untuk melihat jalan penyelesaian atau untuk berhubung dengan pihak yang menawarkan pertolongan. Ahli terapi, kaunselor, rakan-rakan dan orang tersayang mungkin boleh membantu anda untuk mencari jalan penyelesaian yang mungkin anda tidak nampak, berilah mereka peluang.

  1. Anda merasakan permasalahan ini akan kekal sampai bila-bila

Walaupun masalah yang anda hadapi nampak seperti tiada penghujung, adalah sangat penting untuk anda sedar bahawa krisis biasanya bersifat sementara. Jalan penyelesaian akan dijumpai, perasaan bertukar dan perkara positif yang tidak dijangka boleh berlaku. Ingat! “Membunuh diri adalah jalan penyelesaian yang kekal untuk permasalahan sementara”. Berikan sedikit masa untuk perkara berubah dan kesakitan akan berkurang.

  1. Anda hilang harapan dan merasakan masalah anda tidak ada jalan penyelesaian

Masalah mental seperti kemurungan (Depression), skizofrenia (Schizophrenia) dan masalah bipolar boleh dirawat dengan mengubah cara hidup, terapi dan ubatan. Kebanyakan orang yang mendapatkan bantuan, berjaya memperbaiki keadaan mereka dan pulih, walaupun sebelum ini anda pernah menerima rawatan, atau anda pernah cuba untuk menyelesaikan masalah tersebut, anda perlu tahu bahawa ia sangat penting untuk cuba pendekatan yang berbeza sebelum menemui jalan penyelesaian. Jangan cepat putus asa sebelum anda menemui jalan penyelesaian yang sesuai dengan anda.

Jika perasaan itu masih berlarutan, ambil tindakan ini dengan segera

  1. Berjanji dengan diri sendiri yang anda tidak akan melakukan tindakan luar kawal

Walaupun anda didalam kesakitan, beri sedikit ruang/ jarak diantara apa yang anda fikir dan tindakan yang akan diambil. Berjanji dengan diri sendiri seperti, “saya akan tunggu 24 jam dan tidak akan melakukan apa-apa yang drastik dalam masa tersebut.”

Pemikiran dan tindakan adalah dua benda yang berbeza – perasaan ingin bunuh diri anda tidak seharusnya menjadi reality. Tidak ada siapa-siapa yang memaksa anda untuk bertindak terhadap perasaan tersebut. Tunggu! tunggu dan letakkan jarak diantara perasaan tersebut dan tindakan membunuh diri.

  1. Elak menggunakan dadah atau alkohol

Perasaan ingin bunuh diri akan menjadi lebih kuat sekiranya anda mengambil dadah atau alkohol.

  1. Jadikan rumah anda lebih selamat

Buang atau simpan barangan yang mungkin boleh digunakan untuk mencederakan diri sendiri seperti pisau, pisau cukur atau senjata api. Atau anda boleh pergi ke tempat yang lebih selamat. Jika anda terfikir untuk mengambil ubat-ubatan secara berlebihan/overdos, berikan ubat tersebut kepada rakan anda untuk disimpan sementara.

  1. Jangan simpan perasaan ingin bunuh diri pada diri sendiri

Langkah pertama untuk mengatasi perasaan ini adalah untuk berkongsi bersama orang yang dipercayai. Mungkin salah seorang dari ahli keluarga, rakan, ahli terapi, ahli agama, guru, doktor ataupun kaunselor yang berpengalaman di atas talian. Cari seseorang yang anda percaya dan ceritakan keadaan sebenar. Jangan biarkan ketakutan atau malu menyekat anda untuk meminta bantuan, sekiranya orang pertama tidak berjaya untuk memahami anda, cubalah orang seterusnya. Hanya dengan bercakap tentang masalah yang dihadapi boleh melepaskan tekanan yang membina dan membantu anda mencari jalan penyelesaian.

  1. Menaruh harapan yang anda akan pulih

Berharap yang anda akan terus hidup dan berjaya menempuh masalah ini, walaupun seteruk mana perasaan benci diri, keputus-asaan, atau pengasingan yang sedang anda lalui sekarang. Berikan diri sendiri sedikit masa.

Macam mana cara untuk saya dapatkan bantuan?

Sebenarnya terdapat banyak orang diluar sana yang mahu menolong dan menyokong anda di masa begini. Carilah bantuan sekarang! Jika anda sudah berjanji untuk tidak melakukan apa-apa pada diri sendiri dalam 24jam, gunakan masa tersebut untuk mencari orang yang tidak akan berdebat tentang perasaan anda, tidak menilai anda atau orang yang hanya menasihat anda untuk “jangan layan perasaan tu”. Carilah seseorang yang boleh mendengar dan ada bersama anda.

Bagaimana caranya untuk saya bercakap tentang perasaan ingin bunuh diri kepada orang lain?

Walaupun anda telah menjumpai seseorang yang sesuai untuk meluahkan perasaan, tetapi untuk bercakap tentang perasaan ingin bunuh diri bukannya mudah.

  • Beritahu orang tersebut apa yang anda fikirkan, jika sudah mempunyai perancangan untuk bunuh diri, terangkan kepada mereka.
  • Kata-kata seperti “saya dah tak tahan lagi” atau “saya dah bosan fikir masalah ni” tidak akan menunjukkan keseriusan keadaan tersebut. Beritahu orang yang anda percaya tentang keinginan untuk menamatkan hidup anda.
  • Jika susah untuk diungkap dengan kata-kata, cuba tulis perasaan tersebut dan hantarkan kepada rakan anda. Ataupun tulis email atau text kepada mereka.

Bagaimana jika anda masih rasa tidak difahami?

Jika orang pertama yang anda jumpa tidak memahami, cuba cari orang lain atau hubungi helpline krisis bunuh diri (suicide crisis helpline) seperti, Befrienders Malaysia di Talian: +603-79568145

Bagaimana cara yang boleh anda lakukan untuk menghadapi perasaan ingin bunuh diri?

Perkara yang anda boleh dilakukan

  1. Bercakap dengan seseorang yang dipercayai, lebih baik jika bersemuka. (face to face). Walaupun anda rasa tidak diterima, minta bantuan rakan baik untuk meluangkan masa untuk anda atau hubungi helpline krisis bunuh diri dan luahkan perasaan
  1. Buat perancangan keselamatan. Bina langkah atau SOP yang boleh anda ikut sekiranya anda mengalami krisis bunuh diri. Nombor telefon doktor dan ahli terapi serta ahli keluarga perlu disertakan untuk membantu anda semasa kecemasan.
  1. Bina jadual harian untuk diri sendiri dan Ikut rutin harian sebaik mungkin
  2. Keluar dibawah sinaran matahari sekurang-kurangnya 30 minit sehari
  3. Bersenam 30 minit sehari
  4. Luangkan masa untuk perkara-perkara yang membuatkan anda gembira. Walaupun pada masa sekarang tiada apa-apa boleh buat anda gembira, paksa diri anda untuk lakukan aktiviti yang anda pernah suka.
  1. Ingat kembali dan tulis matlamat peribadi anda. Mungkin anda pernah terfikir untuk melancong, membaca buku, membela haiwan, mempelajari hobi baharu, sambung belajar, atau mula berkeluarga.

Perkara yang perlu dielakkan

  1. Menyendiri. Meminggirkan diri dari orang lain akan membuatkan perasaan tersebut makin teruk.
  1. Alkohol dan dadah. Alkohol dan dadah akan meningkatkan tahap kemurungan, mengurangkan kebolehan anda untuk menyelesaikan masalah dan menyebabkan anda bertindak terburu-buru
  1. Melakukan perkara yang membuatkan anda rasa lebih sedih. Mendengar muzik/lagu yang menyedihkan, mengenang semula gambar-gambar lama, membaca surat-surat lama atau menziarah kubur akan meningkatkan perasaan negatif
  1. Berfikir tentang bunuh diri dan perkara-perkara negatif. Jangan terlampau memikirkan perasaan ingin bunuh diri dan perkara-perkara negatif, cuba untuk berfikir tentang perkara lain, walaupun sekejap

Kongsikan artikel dengan rakan anda!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0 Comments
scroll to top